Penubuhan Jawatankuasa Strategik Malaysia-Arab Saudi Dimuktamadkan

40

19 FEB: Malaysia dan Arab Saudi memuktamadkan rundingan penubuhan Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi sebagai mekanisme dua hala di peringkat Menteri Luar kedua-dua negara.

Perkara ini telah mendapat persetujuan antara kedua-dua negara hasil pertemuan antara Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud, semalam.

Hishamuddin berkata, penubuhan jawatankuasa itu berupaya membuka lebih banyak jalan usahasama berhubung pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama. 

Menurut beliau, antaranya adalah keselamatan politik serantau dan antarabangsa, pemulihan ekonomi pasca COVID19, Haji dan Umrah, keselamatan makanan, dan perdagangan minyak sawit.

“Mengakui kepentingan untuk membina pelan pemulihan ekonomi yang kuat dan berdaya tahan susulan pandemik COVID-19, kami juga bersetuju untuk memupuk kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan dan pelaburan termasuk berkaitan teknologi dan inovasi.

“Kami menzahirkan kegembiraan berhubung situasi hubungan dua hala antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi yang semakin kukuh serta menegaskan komitmen teguh untuk meningkatkan usahasama dua hala sedia ada ke peringkat strategik,” katanya menerusi kenyataan rasmi Kementerian Luar, hari ini. 

Dalam pada itu, Hishammuddin turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Arab Saudi, Yang Amat Mulia Putera Abdulaziz Salman Al Saud dan telah mengadakan perbincangan kerjasama dua hala untuk mengekalkan kestabilan pasaran minyak serta kaedah bagi meningkatkan peluang pelaburan antara kedua-dua negara. 

Selain pertemuan dengan Menteri Luar Negeri dan Menteri Tenaga, beliau memberitahu terdapat beberapa lagi pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan Diraja Arab Saudi.

“Lawatan kerja ini telah menyumbang kepada usaha mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.

“Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi terus menikmati hubungan persaudaraan yang erat dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pengajian tinggi dan urusan Haji,” katanya. 

Pada tahun 2020, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi mencatatkan jumlah USD4.83 bilion (RM20.27 bilion) dan Arab Saudi adalah rakan dagang kedua terbesar di Malaysia di Timur Tengah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.