Pengasas Sugarbook direman tujuh hari

26

19 Feb: Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan pengasas aplikasi Sugarbook direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membenarkan semakan permohonan yang dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad.

Perintah itu dikeluarkan selepas usahawan berusia 34 tahun itu tidak membantah dan bersetuju untuk direman bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, permohonan reman terhadap individu berkenaan ditolak oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat selepas individu itu memberi aku janji untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

Lelaki berkenaan yang diwakili peguam T. Shashi Devan dalam hujahnya berkata, anak guamnya tidak membantah semakan permohonan berkenaan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan.

“Anak guam kami juga berpendapat ia merupakan platform yang baik untuk dia menyalurkan maklumat yang diperlukan agar siasatan dapat dijalankan dengan cepat dan lengkap,” katanya.

Sebelum ini, laman sesawang temu janji terbesar di dunia, SeekingArrangement melaporkan Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia mempunyai ‘sugar daddy’ teramai dengan 42,500 orang.

Data platform temu janji, Sugarbook pula mendedahkan seramai 14,433 pendaftaran untuk menjadi ‘sugar baby’ diterima pihaknya membabitkan penuntut di 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah IPT awam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.