Penduduk Jakarta Enggan Terima Vaksin Covid-19 Didenda, Tiada Bantuan

15

19 FEB: Penduduk Jakarta diwajibkan untuk mengambil bahagian dalam program vaksinasi negara Indonesia dan jika enggan, mereka akan dikenakan kompaun lima juta rupiah (RM1,440).

Memetik laporan Reuters, wakil Gabenor Jakarta, Ahmad Riza Patria berkata, hukuman denda itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap peraturan baharu yang mewajibkan inokulasi terhadap jangkitan Covid-19.

“Pihak berkuasa hanya mematuhi peraturan dan tindakan denda merupakan jalan terakhir di Jakarta yang menempatkan sekitar seperempat daripada keseluruhan penduduk negara itu.

“Sekiranya anda enggan divaksin, ada dua perkara akan berlaku: Bantuan sosial tidak akan diberikan, (dan) denda,” katanya.

Terdahulu, Indonesia merekodkan sejumlah 1.2 juta jangkitan koronavirus setakat ini dan hampir 34,000 warganya meninggal dunia akibat jangkitan virus tersebut setakat ini.

Kerajaan Indonesia menjangkakan sejumlah 181.5 juta daripada 270 juta penduduknya divaksin dalam tempoh 15 bulan di bawah program vaksinasi yang bermula bulan lalu.

Indonesia mengumumkan perintah presiden awal bulan ini yang menetapkan bahawa sesiapa yang menolak vaksin mungkin diketepikan daripada bantuan sosial atau perkhidmatan kerajaan, atau diminta membayar denda.

Hukuman tersebut akan ditentukan oleh agensi kesihatan daerah atau kerajaan tempatan.

Peraturan baharu itu susulan keraguan masyarakat selama berbulan-bulan sama ada vaksin Covid-19 selamat, berkesan dan halal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.