Penagih dadah akan dipulihkan, tidak lagi ke penjara

71

19 FEB: Lebih ramai individu yang terlibat dalam salah guna dadah akan dapat dipulihkan menerusi Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan yang akan menggantikan Akta Penagih Dadah 1983.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dengan pelaksanaan akta baharu ini, ia dapat mengelakkan stigma masyarakat yang memandang negatif terhadap individu yang menyalahgunakan dadah dan golongan penagih.

Menurut beliau, dasar pengalihan penyalahgunaan dadah dari hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan akan direalisasikan melalui penggubalan rang undang-undang baharu itu tahun ini.

“Selain itu, ia juga memudahkan integrasi semula ke dalam komuniti dan memberikan peluang kedua kepada mereka,” katanya ketika berucap sempena Peringatan Hari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke-38 yang disiarkan secara maya menerusi Facebook rasmi AADK, hari ini.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pendekatan kolaboratif dan strategik antara agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan akan diteruskan serta diperkasakan untuk tahun ini dan semoga akan berhasil mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni serta bebas daripada dadah berbahaya.

“Sambutan Hari AADK tahun ini yang bertemakan ‘Lebih Baik Cegah’ dipilih untuk mengingatkan semua pihak agar memainkan peranan proaktif bagi melindungi diri dan individu di bawah tanggungjawab mereka daripada terjebak dalam kancah berbahaya.

“Seiring dengan cabaran dan permasalahan yang kian kompleks bagi memenuhi matlamat ‘Dadah Terkawal 2025’, kerajaan juga akan terus memperkasakan gerak kerja yang melibatkan semua pihak dan pemegang taruh,” katanya.

Hari AADK ditetapkan pada 19 Februari setiap tahun sejak tahun 1983 bertujuan mengingati rakyat Malaysia mengenai usaha dan peranan yang perlu digalas dalam menangani permasalahan dadah dalam negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, AADK amat prihatin dengan cabaran gejala penyalahgunaan dadah pada masa kini dan peningkatan penyalahgunaan dadah jenis sintetik dan kemunculan dadah baharu.

Beliau memberitahu, sindiket pengedaran dadah juga menggunakan perkembangan teknologi bagi tujuan salah dan ia harus diambil kira dalam mencorak strategi menangani permasalahan dadah, selain ancaman pandemik Covid-19 yang telah merencatkan pelaksanaan beberapa perkhidmatan AADK.

“Namun begitu, kami di AADK tidak berpatah semangat sebaliknya kami mencuba pelbagai alternatif baharu supaya perkhidmatan yang disediakan dapat disampaikan sebaiknya kepada masyarakat.

“Rakyat Malaysia di sektor kerajaan, swasta, NGO, kepimpinan dan orang persendirian perlu bersama-sama memastikan usaha ini berjaya digerakkan dan bagi meningkatkan usaha itu pelbagai program dirangka membabitkan pelbagai jabatan dengan fokus utama kepada golongan remaja dan belia.

“Antara program yang dilaksanakan adalah Solidariti Anak Muda Bebas Dadah yang menyediakan platform kepada golongan remaja dan belia di seluruh negara untuk menyatakan pendirian mereka dalam menolak daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.