MyDigital buka 500,000 peluang pekerjaan – PM

25

19 FEB: Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dijangka membuka 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital, menerusi gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan hingga 2030.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025.

“Kerajaan juga akan mengalakkan sebanyak 875,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang.

“Selain itu, inisiatif-inisiatif dibawah naungan MyDigital juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan atau ‘startups’ dalam masa lima tahun akan dating,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran MyDigital & Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia secara maya, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif ini akan menjadi titik tolak menarik pelaburan baharu dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negeri, seterusnya sasaran tahap produktiviti sektor ekonomi dijangka meningkat 30 peratus lebih tinggi berbanding hari ini menjelang 2030.

“Bagi sektor awam pula, semua agensi akan menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai sebagai pilihan utama menjelang 2022,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan melabur RM52.65 bilion bagi merancakkan inovasi dan mewujudkan ekosistem digital di Malaysia sehingga tempoh 2025.

Muhyiddin berkata, pelaburan berskala besar itu akan direalisasikan menerusi pewujudan empat prasarana digital di bawah MyDIGITAL yang akan dilaksanakan menerusi usaha sama kerajaan dan swasta.

Jelasnya, dalam prasarana pertama, RM21 bilion akan dilabur sepanjang lima tahun melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memantapkan kesalinghubungan (connectivity) sedia ada.

“Kedua, sejumlah RM1.65 billion akan dilaburkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa sehingga tahun 2023.

“Ketiga, pelaburan berjumlah RM15 bilion akan dilaburkan sepanjang 10 tahun untuk pelaksanaan rangkaian komunikasi 5G ke seluruh negara. Ini akan mewujudkan lebih kurang 105,000 peluang pekerjaan.

“Keempat, antara RM12 bilion hingga RM15 bilion akan dilaburkan oleh syarikat Cloud Service Provider (CSP) atau penyedia perkhidmatan awan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.