Hasrat mahu bunuh diri lebur dengan pujukan bekas isteri

240

19 FEB : Tindakan nekad seorang lelaki yang mahu membunuh diri di Jalan Pintas Rawang akhirnya lebur apabila bekas isterinya hadir ditempat kejadian memujuk lelaki itu membatalkan hasratnya untuk terjun daripada jambatan tersebut.

Dalam kejadian tersebut, lelaki berusia 50 tahun itu dilihat orang awam berdiri di tepi jambatan itu dan mereka kemudiannya membuat laporan polis bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.30 petang daripada orang awam memaklumkan ada kejadian cubaan bunuh diri di Jalan Pintas Rawang.

“Unit Kereta Peronda (MPV) dan sepasukan anggota polis dikejarkan ke tempat kejadian dan ketika mereka tiba di sana, lelaki itu sedang berdiri di atas pembahagi jalan sambil berpaut pada tiang lampu jambatan itu.

“Pihak polis berusaha untuk memujuk lelaki tersebut bagaimana dia enggan turun dan ketika proses pujuk  memujuk sedang berjalan, kelihatan seorang wanita iaitu bekas isterinya tiba di tempat kejadian dan turut memujuk lelaki berkenaan.

“Lelaki itu akhirnya berjaya dipujuk bekas isterinya itu dan membatalkan hasratnya untuk terjun, bagaimanapun lelaki itu ditahan polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kata Arifai Tarawe, siasatan polis kemudiannya mendapati, lelaki berkenaan bertindak demikian kerana menghadapi krisis rumah tangga dengan bekas isterinya itu yang telah bercerai pada 12 Januari lalu dan dia sedang proses untuk memujuk wanita berkenaan agar rujuk semula.

Tambah beliau, lelaki tersebut kini ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.