SIRIM-MTIB meterai MOU sokong industri kayu tempatan

7

18 FEB : SIRIM Bhd dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) menyokong industri kayu tempatan mencapai tahap daya saing global dan pengeluaran efisien melalui teknologi Industri 4.0, mekanisasi dan automasi, pemindahan teknologi dan penggunaan teknologi hijau.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata MoU berkenaan akan membolehkan SIRIM, melalui MTIB untuk bekerjasama dengan persatuan dalam penyediaan bantuan perundingan dan teknikal untuk membantu industri kayu di Malaysia.

“MoU tersebut antara lain, menekankan kepada kerjasama antara kedua pihak terutama dalam bidang teknologi merangkumi Industri 4.0; pembuatan mesin dan peralatan; tenaga boleh diperbaharui dan alam sekitar.

“Langkah itu merangkumi bidang teknologi, mengesyorkan cadangan dan rancangan intervensi untuk peserta industri kayu; dan promosi teknologi SIRIM serta penyelesaian inovatif atau penggunaan teknologi lain yang digunakan untuk kumpulan sasaran tertentu.

“Impak dari projek itu akan menghasilkan penjimatan bersih hingga 60 peratus daripada keseluruhan kos tenaga untuk operasi pengeringan, yang dianggarkan bernilai RM230,000 setahun,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah MTIB, Mohd Kheiruddin Mohd Rani berkata sektor industri kayu kini sedang menghadapi cabaran yang antaranya pandemik COVID-19, bekalan mentah tidak mencukupi, ketidakpastian senario ekonomi global, persaingan dan pergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing serta produktiviti yang rendah.

“Tambahan pula, kekurangan pelaburan dalam inovasi, automasi, mekanisasi, penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan telah membatasi potensi pertumbuhan industri kayu,” katanya lagi dalam kenyataan tersebut. 

SIRIM akan memperkenalkan tiga intervensi teknologi untuk meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan bil elektrik dan bahan bakar dandang menerusi inisiatif, ‘Pengeringan Tanur Kayu Malaysia Hybrid Tenaga Hijau untuk Masa Depan yang Mampan’  yang dilakukan bersama Persatuan Pengusaha Kayu-kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.