Rosmah diarah bela diri atas tiga pertuduhan rasuah

49

18 FEB : Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor hari ini diarah membela diri atas semua tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Rosmah bagi semua pertuduan berkenaan.

 “Penilaian maksimum terhadap bukti, saya dapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

“Dengan ini saya memanggil tertuduh untuk membela diri,” kata Mohamed Zaini.

Rosmah, 69, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin.

Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan September 2017.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pasukan pembelaan.

Najib turut menemani Rosmah hadir di mahkamah semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.