Polis tahan pengasas Sugarbook

43

18 FEB : Polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai pengasas aplikasi cari teman, Sugarbook semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di pekarangan sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, lekaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengenai aplikasi Sugarbook.

fadzil ahmat
FADZIL AHMAT

“Daripada siasatan awal, suspek mengaku sebagai pengasas bagi aplikasi Sugarbook,” kata Fadzil dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, pihak polis akan melakukan permohonan di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman bagi lelaki berkenaan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam.

Polis turut menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan serta Seksyen 372 Kanun Keseksaan  iaitu terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Sebelum ini, laman sesawang temu janji terbesar di dunia, SeekingArrangement melaporkan Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia mempunyai ‘sugar daddy’ teramai dengan 42,500 orang.

Data platform temu janji, Sugarbook pula mendedahkan seramai 14,433 pendaftaran untuk menjadi ‘sugar baby’ diterima pihaknya membabitkan penuntut di 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah IPT awam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.