Persiapan akhir terima, simpan dan hantar vaksin lancar

50

18 FEB: Persiapan akhir bagi menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 dari syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech pada Ahad ini berjalan lancar.

Ini termasuk sesi latihan yang dilaksanakan sebelum ini, merangkumi proses penghantaran vaksin ke fasiliti penyimpanan dan ke negeri lain, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.

Tambahnya, petugas kesihatan terlibat dalam prosedur suntikan turut diberikan latihan secukupnya untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi dan penyelesaiannya

“Dengan persediaan ini maka pada hari ketibaan vaksin itu nanti, semuanya diharapkan akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata, bahagian perolehan Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mendapat bekalan sebanyak 55 peti penyejuk beku (freezer) untuk menyimpan vaksin dan ditempatkan di pusat-pusat simpanan vaksin yang dikenal pasti

DR HISHAMSHAH MOHD IBRAHIM

Dr Hishamshah berkata demikian ketika menjadi panel jemputan dalam program Ruang Bicara malam tadi.

Jelas beliau, persiapan logistik KKM juga sudah bersedia sepenuhnya menerusi atur gerak yang dilaksanakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM bagi memastikan vaksin disimpan dengan baik.

Peti simpanan suhu ultra rendah (ultra low temperature) yang sedia ada turut tempatkan di fasiliti penyimpanan vaksin KKM dan fasiliti Angkatan Tentera Malaysia, sebagai tambahan bagi peti penyimpanan vaksin.

Justeru katanya, buat masa ini KKM tidak mempunyai masalah untuk menyimpan bekalan kumpulan pertama vaksin itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech pada 21 Februari dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi fasa pertama akan bermula pada 26 Februari.

Sementara itu, MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) sedang memperhebatkan persiapan di Advanced Cargo Centre (ACC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memastikan ketibaan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech ke Malaysia pada Ahad ini, juga berjalan lancar.

Ketua Pegawai Operasi MASkargo, Mohd Zulkefly Ujang berkata, beberapa siri latihan membawa vaksin dengan suhu ultra sejuk -70 darjah Celsius telah dijalankan sejak lima bulan lepas bagi memastikan keberkesanan vaksin tersebut tidak terjejas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.