Permohonan polis tahan reman pengasas Sugarbook ditolak

20

18 FEB:  Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari ‘sugar daddy’.

Peguam yang mewakili lelaki tersebut, Foong Cheng Leong berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat menolak permohonan pihak berkuasa berkenaan selepas anak guamnya memberi aku janji akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di pekarangan sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Menurutnya, lekaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam.

Kes berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan serta Seksyen 372 Kanun Keseksaan  iaitu terbabit dalam kegiatan pelacuran.

Media sebelum ini melaporkan, laman sesawang temu janji terbesar di dunia, SeekingArrangement melaporkan Malaysia berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia mempunyai ‘sugar daddy’ teramai dengan 42,500 orang.

Data platform temu janji, Sugarbook pula mendedahkan seramai 14,433 pendaftaran untuk menjadi ‘sugar baby’ diterima pihaknya membabitkan penuntut di 10 institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia termasuk dua daripadanya adalah IPT awam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.