Pelanggan Dibenar Makan Di Restoran Melebihi Dua Orang Semeja

75

18 FEB : Pelanggan restoran kini tidak lagi dihadkan kepada dua orang semeja, sebaliknya boleh duduk berdasarkan keluasan saiz meja makan di sesebuah premis kedai makan atau restoran.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu itu, peraturan hanya dua orang dihadkan satu meja tidak lagi dikuatkuasakan namun SOP penjarakan fizikal satu meter antara satu sama lain dikekalkan.

“Peraturan kebenaran makan di premis makanan berdasarkan keluasan meja dengan penjarakan fizikal satu meter turut dilaksanakan di kawasan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Mesyuarat bersetuju semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP dibenarkan ‘dine in’ dengan kebenaran makan berdasarkan keluasan meja dan adanya penjarakan fizikal satu meter,” katanya menerusi sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu majlis akad nikah di negeri yang melaksanakan PKP boleh juga diadakan di masjid selain di pejabat agama seperti yang dibenarkan sebelum ini.

Beliau berkata, seramai 20 tetamu tidak termasuk jurunikah dan saksi dibenarkan untuk majlis terbabit di masjid.

“Bagi kawasan PKP Bersyarat (PKPB) pula, had maksimum jumlah kehadiran upacara akad nikah dibenarkan sebanyak 50 peratus mengikut keluasan premis dengan penjarakan fizikal satu meter.

“Bagi kawasan PKPP pula, upacara pernikahan dibenarkan mengikut keluasan premis dengan penjarakan fizikal sejauh satu meter.

“Bagi upacara pernikahan dan majlis resepsi bukan Islam pula, ia akan diumumkan oleh Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.