Berang bunyi bising, warga emas tembak kereta ditahan

65

18 FEB: Barangkali berang dengan bunyi bising kenderaan dipandu seorang lelaki, seorang warga emas dipercayai melepaskan tembakan ke arah kereta tersebut di kawasan Taman Ulu Choh, Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata seorang lelaki berumur 21 tahun dalam aduannya mendakwa kejadian berlaku pada kira-kira jam 3.15 petang

Ketika kejadian, lelaki itu sedang memandu kereta jenis Perodua Myvi di kawasan Taman Ulu Choh menghala ke jalan keluar di Jalan Senduduk.

“Pada jam 5.30 petang hari yang sama, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah menahan seorang lelaki berumur 63 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau di sebuah rumah dalam kawasan yang sama,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata kesan tembakan dapat dilihat pada pintu bahagian belakang sebelah kanan kereta tersebut.

Dzulkhairi berkata, kejadian dipercayai berlaku berikutan sikap lelaki itu yang sering membuat bising menggunakan keretanya sehingga mengganggu jiran tetangga.

Katanya polis turut merampas satu laras senapang tiruan pendek serta satu laras senapang tiruan panjang, dan siasatan awal polis mendapati senapang itu dibuat sendiri oleh suspek berdasarkan pembelajaran melalui Youtube.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.