SPRM sahkan penahanan timbalan pengerusi parti politik

97

17 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan menahan timbalan pengerusi sebuah parti politik kerana disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperolehi projek daripada sebuah kementerian pada 2019.

SPRM dalam kenyataan tersebut berkata, pihaknya turut menahan dua pengarah syarikat di Ipoh semalam.

“SPRM merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1.2 juta dipercayai wang rasuah yang disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan timbalan pengerusi berkenaan.

“Turut dirampas sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri itu sebagai kenderaan rasmi dan dipercayai milik seorang pengarah syarikat yang meluluskan projek berkenaan.

“Setakat ini, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta dibekukan untuk siasatan,” katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan siasatan masih berjalan dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan berkenaan.

Semalam, media melaporkan SPRM menahan Timbalan Pengerusi PKR Perak, M A Tinagaran berhubung projek pembangunan di Perak.

Penahanan Tinagaran disahkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Media turut melaporkan, Tinagaran adalah pegawai tugas-tugas khas kepada bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.