9 kes positif, PKPD di Felda Triang 3 mulai esok

36

17 FEB : Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula esok sehingga 3 Mac depan. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD ini akan melibatkan Perumahan Kelapa Sawit dan Taman Lamanda Permai di Felda Triang 3 yang merangkumi 1356 orang penduduk. 

Sehingga kini, menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 79 orang telah disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

“KKM mengesahkan sebanyak sembilan kes positif telah dilaporkan dan setelah membuat penilaian risiko, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula esok hingga 3 Mac 2021. 

“KKM akan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Dalam pada itu, mengenai task force pematuhan, Ismail Sabri memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 594 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP)

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 569 individu dikompaun manakala 25 orang pula direman. 

“Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (127), tiada penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (74), tidak memakai pelitup muka (77) dan keluar rumah tanpa alasan munasabah (57). 

“Selain itu, kesalahan yang turut dicatatkan adalah embawa penumpang berlebihan (31), aktiviti pusat hiburan (23), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (5), aktiviti sukan (17), ingkar arahan kuarantin (1) dan lain-lain (38),” katanya. 

Berhubung Op Benteng semalam, beliau memberitahu, pasukan keselamatan berjaya menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas sebuah kenderaan darat melalui dua aktiviti penglihatan. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 123,852 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 69 hotel dan 12 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Semalam, seramai 557 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Seramai 5,289 individu telah dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 117,964 orang dibenarkan pulang manakala 599 lagi dibawa ke hospital., “katanya. 

Semalam, Ismail memaklumkan anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 57 tapak binaan di seluruh Malaysia

“Daripada jumlah itu, 56 tapak binaan beroperasi manakala satu lagi tidak beroperasi. Hasil pemeriksaan juga mendapati, kesemua tapak binaan mematuhi SOP. 

” Secara keseluruhannya, CIDB sudah melakukan 15,450 pemeriksaan melibatkan 8,733 tapak binaan sejak 20 April 2020.” katanya- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.