25 daripada 90 ahli parlimen ASEAN bukan wakil rakyat

119

17 FEB: Seramai 25 daripada 90 ahli Parlimen dari tujuh negara ASEAN yang menggesa Yang di-Pertuan Agong serta Perdana Menteri membenarkan Parlimen bersidang secepat mungkin didapati bukan lagi wakil rakyat di negara masing-masing, demikian menurut Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad.

Menurut beliau menerusi satu kenyataan hari ini, senarai nama 90 ahli Parlimen termasuk dua dari DAP itu mendakwa mewakili sebuah organisasi ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) yang dipengerusikan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, ini membuktikan gesaan itu tidak benar kerana 25 individu yang menandatangani perkara itu tidak lagi menjadi wakil rakyat di negara mereka.

Selain itu, menurut beliau, lapan daripada nama yang disenaraikan merupakan Ahli Parlimen Timor Leste yang tidak termasuk dalam negara ASEAN.

“Kenyataan ini juga tidak mewakili pendapat kerajaan negara-negara tersebut tetapi sekadar mewakili pendapat Ahli Parlimen pembangkang mereka.

“Sedangkan, pelaksanaan Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah menepati garis panduan darurat yang diperkenalkan oleh “Office of the High Commissioner”, United Nations Human Rights, pada 27 April 2020, “katanya dalam kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook rasminya itu. 

Dalam pada itu, Kamaruzaman memberitahu pihaknya kesal dengan laporan sebuah portal berita yang cuba mengelirukan rakyat mengenai desakan Ahli Parlimen negara ASEAN menggesa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mengadakan sidang Parlimen.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan jika tindakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang negara tersebut didorong oleh Ahli Parlimen pembangkang Malaysia yang mahu mengkritik dan mencemarkan imej kerajaan.

“PAS berharap agar setiap portal berita, walau apa sekalipun kecenderungan politiknya, tidak cuba mengelirukan rakyat.

“Dan perlu menjaga etika pemberitaan, terutama di waktu darurat begini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.