PKP 2.0 empat negeri dilanjutkan hingga 4 Mac

226

16 FEB: Kerajaan hari ini mengumumkan pelanjutan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) di empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang selama 14 hari  lagi sehingga 4 Mac 2021.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) diberikan taklimat oleh Jawatankuasa Teknikal PKP dan penilaian risiko dianggotai oleh Kementerian Kesihatan yang mendapati jumlah kes baharu positif Covid-19 masih tinggi di empat negeri terbabit.

Beliau berkata sidang khas itu bersetuju bahawa PKP Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Kelantan, Putrajaya, Labuan dan Sabah dalam tempoh sama berikutan penurunan kes baharu positif Covid-19 di negeri berkenaan.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Perlis menjadi satu-satunya negeri akan dikuatkuasakan PPK Pemulihan (PKPP) selepas laporan KKM mendapati jumlah kes baharu penularan Covid-19 di negeri berkenaan amat rendah sekarang.

“Bagi Sarawak pula kerajaan negeri sudah mengumumkan bahawa mereka akan melanjutkan tempoh PKPB selama 14 hari lagi mulai semalam hingga 1 Mac 2021,” katanya pada sidang media hariannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata secara umumnya KKM memaklumkan kes di kebanyakan negeri menunjukkan trend penurunan iaitu selepas dua minggu pelaksanaan PKP 2.0, trend kes import dan rentas negeri turut menurun bermula 3 Februari lalu.

“Bagaimanapun, kes kekal tinggi di beberapa negeri antaranya Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, oleh itu selepas membuat penilaian risiko dan perbincangan pelbagai agensi, sidang khas hari ini bersetuju mengekalkan PKP di negeri terbabit,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPB dan PKPP adalah sama seperti dilaksanakan sebelum ini dan tertera dalam laman sesawang MKN.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata antara aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan di kawasan pelaksanaan PKPB termasuklah majlis perkahwinan, sambutan hari lahir, akad nikah dan tahlil serta kegiatan keagamaan lain dengan SOP ketat sama seperti semasa PKPB 1.0, sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan juga membenarkan pergerakan melebihi radius 10 kilometer dari lokasi tetapi mengekalkan larangan rentas daerah dan negeri.

“Keputusan itu dibuat selepas banyak aktiviti perniagaan diberikan kebenaran untuk beroperasi di seluruh negara.

“Selepas mengambil kita keputusan kerajaan sebelum ini yang membenarkan banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi, adalah tidak relevan untuk kita terus melarang mana-mana pihak bergerak dalam radius 10 km. Bagaimanapun larangan merentas daerah dan negeri setakat ini masih lagi dikekalkan di semua negeri,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.