PGA guna dron mantapkan kawalan sempadan negara

58

16 FEB: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menggunakan teknologi dron bagi memantapkan lagi kawalan kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri Kelantan terutama membabitkan kes jenayah rentas sempadan di sepanjang Sungai Golok.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar, berkata alat terbabit memberi kawalan udara yang lebih luas sekali gus melancarkan lagi tugasan anggota untuk mengesan sebarang aktiviti penyeludupan.

Hasan Basri berkata pihaknya juga akan memaklumkan operasi berkenaan kepada pihak berkuasa di negara Thailand bagi mengelakkan timbul salah faham, sekali gus mengelakkan konflik antara dua negara.

“Setakat ini, kita baru beberapa kali menggunakan dron daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU), Subang, yang membantu ‘menerbangkan’ dron di kawasan yang dikenal pasti dan nyata ia berkesan apabila terdapat aktiviti penyeludupan yang digagalkan pihak kami.

“Sebaik dron dilepaskan, pemerhatian dari atas dijalankan dan jika terdapat sebarang pergerakan yang mencurigakan, pasukan PGA di darat terus bertindak mengepung kawasan yang menjadi sasaran.

“Baru-baru ini pihak PGA9 menumpaskan penyeludupan kain batik bernilai RM28,800 hasil tinjauan melalui dron dan strategi itu diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah dan Terima Tugas antara Batalion 9 Pasukan gerakan Am (PGA9) dan Batalion 8 PGA (PGA8) di Markas PGA Lubok Stol, Rantau Panjang, Kelantan hari ini.

Dalam pada itu Hassan berkata, sepanjang sebulan PGA9 bertugas di Ops Benteng COVID-19, pihaknya merampas pelbagai barangan dan ternakan seludup bernilai lebih RM4.1 juta membabitkan 69 kes jenayah rentas sempadan.

“PGA bersedia menghantar anggota untuk mendapatkan latihan dalam penggunaan dron bagi memastikan mereka memiliki kemahiran mengawal alat berkenaan, sekali gus melancarkan kawalan dalam penugasan.

“Selain itu, saya juga ingin berkongsi kejayaan PGA yang menangkap 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan 73 warga Thailand, 29 Kemboja, 24 Myanmar dan 11 lagi dari negara-negara lain selain menahan 15 tekong warga tempatan sepanjang Ops Benteng 2020.

“Kawalan terus diperketatkan lagi dari semasa ke semasa bagi memastikan kita dapat mengekang jenayah rentas sempadan selain menghalang kemasukan PATI yang mungkin boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.