Perak benarkan solat berjemaah ikut kapasiti masjid,surau

75

16 FEB: Solat Jumaat, solat fardu serta solat jenazah berjemaah di semua masjid dan surau di seluruh negeri Perak dibenarkan dengan mengikut keluasan dewan solat utama dengan penjarakan fizikal satu meter antara jemaah bermula Khamis ini.

Kebenaran itu diberikan setelah diperkenankan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ketetapan tersebut terpakai dan berkuat kuasa mulai solat Maghrib pada 18 Februari 2021 sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, keputusan tersebut dibuat setelah baginda berpuas hati dengan keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid mematuhi dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

“Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah ALLAH dan beribadah secara berjemaah. Perkenan baginda untuk menambah atau mengurangkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Dalam memenuhi hasrat tersebut, baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan kesihatan para jemaah serta menimbangkan tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas KKM menangani wabak Covid-19 ketika ini,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) , hari ini.

Terdahulu, Sultan Nazrin memperkenankan solat Jumaat, fardu dan solat jenazah diadakan di semua masjid dan surau negeri  ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, had maksimum jemaah ditetapkan kepada 40 orang bagi masjid atau surau Solat Jumaat, selain ketika menunaikan solat fardu dan jenazah dengan ia tidak termasuk ahli jawatankuasa.

Dalam pada itu, Mohd Annuar berkata baginda turut membenarkan semua surau, termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang mendirikan solat Jumaat agar seramai mungkin jemaah berpeluang menunaikan solat Jumaat.

Menurut beliau, baginda turut membenarkan jemaah wanita untuk menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau di samping kuliah ilmu turut dibenarkan diadakan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara solat Maghrib dan solat Isyak, selepas solat Subuh dan sementara menanti azan solat Jumaat.

“Semua jemaah bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah mestilah terdiri daripada warganegara, penduduk tetap dan berusia 12 tahun ke atas.

“Kumpulan berisiko tinggi dinasihatkan tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau sebagai langkah penghindaran demi mengelakkan berlakunya komplikasi kesihatan dan tidak dibenarkan diadakan jamuan di dalam masjid dan surau, merangkumi pekarangan masjid dan surau,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Annuar menegaskan sebarang aktiviti, termasuk mendirikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid mahupun surau yang terletak dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

Tambah beliau, JAIPk akan bertanggungjawab mengeluarkan garis panduan lengkap kepada semua jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau di samping memantau pematuhan garis panduan, memastikan jarak fizikal antara jemaah sentiasa dipatuhi terutama aliran jemaah masuk dan keluar.

“Para jemaah dinasihatkan supaya membawa beg untuk menyimpan kasut bagi memboleh jemaah membawa kasut di dalam masjid dan surau bagi mengelak kesesakan yang sering berlaku ketika jemaah mencari kasut selepas selesai menunaikan solat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.