Pemandu lori sampah terkejut jumpa sekotak bom tangan

85

16 FEB : Seorang pemandu lori sampah terkejut apabila terjumpa objek yang disyaki bom tangan dalam sebuah kotak di tempat pembuangan sampah Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya, Terengganu, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.30 malam daripada orang awam memaklumkan tentang penemuan objek yang menyerupai seperti bom tangan di lokasi terbabit.

Menurut beliau, sejurus menerima makluman itu, sepasukan anggota daripada bahagian persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dikerahkan ke lokasi untuk tindakan, selain arahan turut dikeluarkan kepada anggota Balai Polis Ketengah agar memasang rintangan kuning di lokasi.

“Setibanya di lokasi pihaknya mendapati kotak yang mengandungi 24 objek menyerupai bom tangan itu ialah bom tangan biasa yang digunakan untuk latihan.

“Biasanya bom tangan itu hanya digunakan untuk latihan asap oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU),” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata pemandu lori sampah yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang itu bagi menjalankan kerja-kerja pembuangan sampah sebelum ternampak satu kotak yang mencurigakan lalu bertindak memeriksa kandungan di dalam kotak berkenaan.

Menurut beliau, lelaki berusia 35 itu mendapati terdapat beberapa objek menyerupai bom tangan dan individu terbabit terus beredar dari lokasi kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.

“Selepas itu, pemandu lori tersebut mengajak empat lagi rakannya sebagai saksi ke lokasi pembuangan sampah itu kira-kira jam 10 malam pada hari sama.

“Sebelum ke tempat pembuangan sampah buat kali kedua, lelaki itu telah menghubungi Ketua Pengerusi Belia di kawasan tersebut dan memaklumkan tentang penemuan objek itu di lokasi,” katanya, hari ini.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati kesemua objek itu tidak memiliki nombor siri dan tidak ada ‘kecacatan’ selain mendapati kesemuanya masih belum digunakan.

“Punca bagaimana bom tangan berkenaan diletakkan di lokasi terbabit masih dijalankan dan kesemua objek terbabit akan dilupuskan di Lembah Bidong, Setiu minggu depan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.