PDRM-SKMM buka 283 kertas siasatan berita palsu COVID-19

58

16 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah membuka 283 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan Covid-19, sehingga semalam.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah ini, sebanyak 109 kes masih dalam siasatan, 51
kes telah didakwa di mahkamah dan 12 kes diberi notis amaran.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 30 kes didakwa dan didapati bersalah di mahkamah, manakala 20 lagi dalam proses perbicaraan.

“Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah Kementerian Komukasi dan Multimedia (KKMM) juga telah mengeluarkan sebanyak 427 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan COVID-19.

“Sekiranya terdapat sebarang berita yang diragui kesahihannya, anda boleh menyemak atau menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari WWW.SEBENARNYA.MY,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri mengesahkan bahawa Pasukan Task Force Operasi Pematuhan diketuai oleh PDRM berjaya menahan 596 individu atas kesalahan
ingkar SOP PKP termasuk 532 daripadanya dikompaun manakala 64 individu direman.

Beliau berkata antara kesalahan ingkar SOP termasuk tiada penjarakan fizikal (155); rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (134); tidak memakai pelitup muka (121); gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (83); premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (17) dan lain-lain (86)

“Pihak berkuasa juga berjaya mengusir 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki sempadan negara dan menahan seorang warga asing, dua penyeludup serta merampas 2 buah kenderaan darat dalam OP Benteng di seluruh negara semalam.

“Dalam operasi itu juga, 111 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima (5) aktiviti penglihatan,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.