Hantar pulang etnik Rohingya perlu pertimbangan teliti

66

16 FEB: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru agar proses penghantaran balik 1,200 warganegara Myanmar khususnya etnik Rohingya ke negara asal mereka dipertimbangkan semula oleh kerajaan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kerajaan perlu berhati-hati kerana dikhuatiri akan berlakunya kezaliman terhadap mereka yang dihantar pulang apatah lagi dalam keadaan rampasan kuasa oleh tentera Myanmar, pada 1 Februari lalu yang mewujudkan keadaan yang tidak selamat untuk pelarian berkenaan.

“Bukan sahaja nasib mereka tidak menentu dan tidak selamat ketika tentera Myanmar kembali berkuasa , malah mereka akan terdedah kepada ancaman nyawa kerana keadaan yang semakin tegang sekarang di Myanmar itu sendiri.

“Menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin di Malaysia, perlu mengambil kira faktor keselamatan nyawa di mana mereka yang melarikan diri dari negara asal adalah kerana ancaman dari serangan oleh tentera di negara Myanmar,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Mohd Azmi, pertimbangan perlu dilakukan dengan teliti dan terperinci kerana Malaysia tetap tertakluk kepada undang-undang antarabangsa.

“Kerangka prinsipal undang-undang antarabangsa mengenai pelarian adalah undang-undang antarabangsa “customary ” yang juga bermakna “non-refoulement” iaitu prinsip asas undang-undang antarabangsa.

“Ini melarang negara yang menerima pencari suaka dari memulangkannya ke suatu negara di mana mereka mungkin berada dalam bahaya penganiayaan berdasarkan “bangsa, agama, kebangsaan, keanggotaan suatu kumpulan sosial atau pendapat politik tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu prinsip keselamatan dan maruah pelarian dan yang memohon suaka perlu dihormati dengan menjaga keselamatan fizikal sepanjang perjalanan penghantaran mereka sehingga sampai kedestinasi tempat mereka diterima pulang.

Kata Mohd Azmi lagi, perhatian khusus juga perlu diberi kepada kumpulan mudah terdedah dan mengecualikan peraturan formaliti ketika disempadan di samping memberi kebenaran pelarian membawa barangan peribadi, mengormati kalender persekolahan dan waktu usha pertanian , ketika penghantaran pulang.

“Kerajaan Malaysia sendiri selama ini telah mengambil pendirian bahawa kezaliman penghapusan etnik Rohingya telah dikutuk sebagai jenayah kemanusiaan oleh tentera dan golongan fanatik Buddha nasionalis di Myanmar.

“Lantaran itu, untuk menghantar mereka pulang secara paksa ke Myanmar yang tidak menunjukkan tanda mereka akan selamat , adalah tindakan yang tidak konsisten dan selaras dengan pendirian asal,” katanya.

Menurut beliau, menempatkan mereka semula ke negara ketiga dilihat tidak dapat dilaksanakan oleh UNHCR ketika kebanyakan negara kini menutup sempadan masing-masing akibat pandemik Covid-19.

“Malaysia seharusnya menimbangkan faktor kemanusiaan untuk memutuskan mereka dihantar pulang. Bagi pelarian yang sudah menerima dokumen UNHCR, mereka seharus dilindungi sehingga penyelesaian menempatkan ke negara ketiga dapat diatur oleh UNHCR.

“Manakala yang belum mendapat dokumen harus disaring dan dilayani atas dasar kemanusiaan terutama dikalangan wanita dan kanak-kanak. Bantuan dan kerjasama UNHCR harus dirundingkan untuk menyantuni mereka.

“Jika penghantaran pulang akan dilaksanakan pada masa yang sesuai, ia perlu dikendalikan dibawah mandat dan kawalan PBB setelah keselamatan mereka dijamin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.