Anak sahkan Hadi stabil, perlu rehat

63

16 FEB : Anak Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengesahkan bapanya dalam keadaan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menyatakan perkara itu menerusi laman Facebook miliknya, sebentar tadi.

“Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.

“Mohon doa daripada semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah, ” katanya, hari ini. 

Terdahulu, Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi

Sebelum itu, tular kenyataan di media sosial bahawa Abdul Hadi telah dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.

Kenyataan itu mendakwa, beliau dibawa ke hospital itu pada jam 7.50 malam kerana mengalami sesak nafas.

Difahamkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut berada di hospital tersebut.

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi Facebook miliknya menyatakan kebimbangan di atas perkara yang menimpa Abdul Hadi. 

“Khabar berita Presiden PAS dikejarkan ke hospital malam tadi amat membimbangkan. 

“Sama-sama kita doakan agar Yang Berhormat Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dikurniakan kesembuhan dan diberi keafiatan,”katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.