Ahli Parlimen, ADUN golongan pertama terima suntikan vaksin

38

16 FEB: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini, mengesahkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan tersenarai sebagai golongan penerima vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Muhyiddin berkata, perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memandangkan Ahli Parlimen dan ADUN biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi.

“Oleh sebab bentuk kerja mereka begitu rupa maka, kita setuju Ahli Parlimen dan ADUN tak kira pihak mana, akan diberi vaksin dalam fasa pertama untuk mereka menjalankan tugas secara lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya.  

Turut serta Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Bersama JKJAV.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa akan bermula pada 26 Feb ini dan perdana menteri akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau telah meminta Dr Adham dan Khairy untuk berbincang dengan pemimpin parti politik bagi mendapatkan persetujuan mereka dan memahami keperluan menerima vaksinasi Covid-19 berkenaan.

Vaksin Covid-19 buatan Pfizer-BioNTech dijangka tiba ke negara ini pada 21 Feb, diikuti dengan pelaksanaan program imunisasi kebangsaan pada 26 Feb yang bakal mengandungi tiga fasa.

Menurut Muhyiddin, fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula 26 Feb sehingga Apr 2021. Fasa kedua pula akan bermula pada April sehingga Ogos 2021 melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi.

Bagi fasa ketiga, ia melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari Mei 2021 sehingga Feb 2022.

Dalam pada itu kerajaan ketika ini sedang berunding dengan kerajaan Rusia tentang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan penghasilan vaksin Sputnik V di Malaysia, sebagai usaha menambah jumlah dos vaksin Covid-19 dan mempercepatkan penerimaannya.

Perkara berkenaan dinyatakan dalam buku panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan keluaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri hari ini.

Sputnik V adalah vaksin jenis vektor virus yang dihasilkan di Rusia yang diperlukan dalam dua dos. Ketika ini, kadar keberkesanannya adalah 91.6%. 

Vaksin jenis ini telah digunakan di beberapa negara seperti Rusia, Argentina, Brazil, Korea Selatan dan Belarus.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.