Sifat empati diri penting atasi cabaran perkauman

70

15 FEB: Sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama perlu diperkukuhkan di kalangan masyarakat di negara ini dalam mengatasi cabaran perkauman supaya lebih berkesan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam tempoh negara berdepan wabak COVID-19, ramai yang telah menunjukkan sifat empati sesama lain, di mana dapat disaksikan rakyat Malaysia menzahirkan keupayaan individu atau kumpulan untuk memahami  sentimen, aspirasi, kebimbangan,  cita-cita, individu atau kumpulan yang lain. 

Beliau berkata, perpaduan rakyat di negara ini dapat dilihat dengan jelas apabila dijelmakan dalam keadaan sebenar ketika negara dilanda cabaran dan musibah.

“Dalam krisis COVID-19, rakyat Malaysia khususnya petugas di barisan hadapan atau frontliners telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama. Kita perlu terus menyuburkan sifat empati ini dalam kita hendak memahami isi-isu kaum dari perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh. 

“Seperti beberapa negara-negara berbilang kaum yang lain, kadangkala kita hanya melihat isu kaum dari sudut kaum atau kumpulan tertentu. Perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik dan harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media,” katanya 

Beliau berkata demikian menerusi Pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 secara siaran langsung menerusi Facebook Kementerian Perpaduan, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli-ahli politik yang merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang mempunyai kepelbagaian dan berbilang kaum.

“ Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan. Kita sedar, rakyat negara ini tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah kita kecapi ini demi matlamat peribadi. 

“Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara. Berpegang kepada prinsip inilah Kementerian Perpaduan Negara telah diwujudkan yang perlu menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan,”katanya.

Sementara itu, ketika melancarkan Blueprint Pelan Dasar Perpaduan Negara 2021-2030, Muhyiddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pagoh memberitahu kerajaan amat menyedari akan hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara, di mana perpaduan dalam kepelbagaian yang berteraskan model integrasi perlu direalisasikan untuk rakyat di Malaysia.

“Tiga objektif utama yang ditetapkan dalam dasar ini ialah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara di samping embentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab serta yang terkahir melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

“Bagi memastikan objektif ini tercapai, sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya agen penggerak perpaduan yang terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan pemegang taruh berkaitan adalah sangat penting. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.