PRU 15: UMNO Perlis akan bertanding di tiga kerusi tradisi

81

15 FEB : Ketua Badan Perhubungan UMNO negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding di tiga kerusi tradisinya di Perlis iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Shahidan yang juga Pengerusi BN Perlis berkata, UMNO perlu diberikan laluan untuk bertanding di Kangar oleh gabungan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka mendapat undi kedua tertinggi dalam PRU-14.

Beliau berkata berdasarkan perkiraan tersebut, undi yang diperoleh BN dalam PRU-14 adalah melebihi Pas manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bersama Pakatan Harapan (PH) sebelum ini tidak bertanding di kawasan tersebut.

“Keputusan kita, BN akan bertanding di Kangar, Arau dan Padang Besar. Di Kangar parti yang kalah namun memperoleh undian kedua tertinggi akan bertanding selain mengekalkan kerusi yang kita menang,” katanya ketika ditemui pemberita di Arau hari ini.

Pada PRU-14, BN menang di 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pas menang dua iaitu di Guar Sanji dan Sanglang.

Di peringkat Parlimen, BN menang di kerusi Arau dan Padang Besar manakala Kangar buat pertama kalinya jatuh ke tangan PKR dalam pilihan raya lalu.

Bersatu sebelum ini pernah menyatakan hasrat diberi laluan bertanding di Parlimen Kangar dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan dengan perkara itu akan dibincangkan bersama Pas di dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam PRU-14, Bersatu tewas di kesemua kerusi yang ditandingi mereka iaitu di Pauh, Guar Sanji, Mata Ayer, Tambun Tulang, Kayang selain Parlimen Arau dan Padang Besar.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.