PKPD di Penjara Tapah bermula esok hingga 1 Mac

93

15 FEB: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Tapah, Perak bermula esok sehingga 1 Mac ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM mengesahkan 187 orang telah disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes positif COVID-19 telah direkodkan. Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan  PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Tapah, Perak bermula 16 Februari (esok) sehingga 1 Mac 2021. 

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“SOP PKPD di penjara ini sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu tiga lagi kawasan PKPD iaitu di Dalat, Sarawak dan dua lagi iaitu di Felda Hulu Perak dan Felcra Perak tengah akan ditamatkan mulai esok. 

Beliau berkata, tiga kawasan itu membabitkan Kampung Sungai Ud, Dalat, Sarawak; Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1 Felda Bersia, Hulu Perak serta Felcra Nasaruddin, Perak Tengah, Perak

“Kampung Sungai Ud, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,042 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 41 kes telah direkodkan. 

“Walaubagaimanapun, KKM melaporkan tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan kes terakhir yang direkodkan adalah pada 13 Februari lalu iaitu sebanyak dua kes,” katanya. 

Bagi peringkat 2 dan sebahagian peringkat 1 Felda Bersia, beliau berkata KKM telah melaksanakan 76 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 38 kes positif COVID-19 telah direkodkan. 

“KKM telah melaksanakan 409 ujian saringan dan secara kumulatif  sebanyak 29 kes telah direkodkan di keseluruhan Felda Bersia. 

“Walaubagaimanapun, KKM mengesahkan tiada lagi kes positif dikesan setelah PKPD dilaksanakan di lokaliti ini bermula 3 Februari. Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di sana,” katanya.

Tambah beliau, bagi Felcra Nasaruddin pula, KKM telah pun melaksanakan 491 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 20 kes positif COVID-19 telah direkodkan namun menunjukkan trend penurunan dan terkawal. 

Sementara itu, Ismail Sabri menyatakan Kerajaan turut melanjutkan PKPD di Penjara Sungai Udang, Melaka Tengah, Melaka susulan masih merekodkan kes baharu positif Covid-19.

Tambah beliau, PKPD di kawasan berkenaan yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga 2 Mac di samping KKM setakat ini telah melaksanakan 1,234 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif, sebanyak 331 kes telah direkodkan.

“KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku dalam kalangan tahanan dan terdapat baki 21 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan, namun, penularan kes positif COVID-19 ini tidak melibatkan kakitangan dan ahli keluarga yang tinggal di kuarters. 

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Sungai Udang Melaka Tengah, Melaka bermula 17  Februari sehingga 2 Mac 2021. 

“Namun perkara ini terkecuali buat mereka yang tinggal di Kuarters Kakitangan dan PKRC Penjara Sungai Udang ditamatkan pada 16 Februari 2021 (esok) seperti yang dijadualkan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.