Penerima bantuan PRIHATIN layak terima bantuan PERMAI

95

15 FEB: Pemandu pengangkutan awam yang menerima bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) 2020, layak secara automatik menerima Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).

Keputusan itu dibuat kerana ramai pemandu di sektor berkenaan terus memberikan khidmat kepada masyarakat biar pun berdepan kesukaran akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata bagi mempercepatkan proses pembayaran, pemandu terbabit dikecualikan daripada melalui proses permohonan dan hanya saringan lesen sahaja yang perlu dibuat.

Katanya, bantuan tunai PERMAI bernilai RM500 itu akan memanfaatkan 118,000 pemandu e-hailing, teksi, bas sekolah dan persiaran yang sudah diluluskan dan mereka yang masih belum membuat permohonan.

Beliau berkata, bantuan secara ‘one off’ menerusi pakej PERMAI itu membabitkan peruntukan bernilai RM15 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 18 Januari lalu.

“Ini adalah sebahagian daripada 22 inisiatif PERMAI diperkenalkan untuk melindungi ekonomi dan kesejahteraan rakyat semasa berlakunya wabak COVID-19.

“Perkhidmatan mereka (pemandu di sektor pengangkutan awam) semata-mata mahu memastikan bekalan makanan, barangan keperluan dan kehidupan orang ramai berjalan dengan baik.

“Kerajaan juga menyedari bahawa pemandu ini perlu diberikan bantuan bagi membolehkan mereka menampung keperluan harian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pakej PERMAI bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Ia adalah tambahan kepada empat pakej rangsangan ekonomi yang sudah dilaksanakan sejak penularan COVID-19, pada awal tahun lalu, dengan nilai keseluruhan RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Empat pakej bantuan terdahulu adalah PRIHATIN, PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KitaPrihatin.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, semua pemohon baharu digesa memberi maklumat tepat dan terkini kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), mengikut kriteria ditetapkan bagi memastikan pemprosesan dan pengagihan bantuan tunai tidak tertangguh.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.