Pelancaran Dasar Perpaduan Negara tepat pada masanya

81

15 FEB: Pelancaran Blueprint Pelan Dasar Perpaduan Negara (DPN) 2021-2030 dilihat tepat pada masanya bagi mengelak timbulnya isu ketegangan dan rusuhan kaum seperti Peristiwa 13 Mei 1969 daripada berulang sekali lagi pada masa depan.

Pakar Sosial, Prof Dato Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, ini memandangkan ada anasir jahat yang cuba menyuntik ‘racun perkauman’ bagi mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Katanya lagi, Malaysia adalah sebuah negara unik kerana mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama dengan tiga komposisi kaum utama iailah Melayu, Cina dan India, yang memikili perbezaan hampir 360 darjah termasuk dari aspek kehidupan termasuk seni budaya, agama, makanan dan adat resam.

“Kita tidak boleh menyamakan masalah perkauman di Malaysia dengan negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Thailand mahu pun Indonesia kerana ia berbeza sama sekali.

“Sebenarnya kita sudah ada kaedah tertentu untuk menyatupadukan rakyat Malaysia pelbagai kaum sejak negara mencapai kemerdekaan kira-kira 63 tahun lalu, namun ia perlu diperkukuhkan lagi misalnya dengan memperkenalkan subjek khusus mengajar mengenai perpaduan nasional di semua pra sekolah dan sekolah rendah sama ada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil mahu pun Cina (SJKC).

“Kita memastikan semua murid sekolah rendah tidak kira SK atau SJKT atau SJKC termasuk sekolah persendirian dan venikular menggunakan bahasa kebangsaan dan menyanyikan lagu Negaraku setiap hari sebelum memulakan sesi persekolahan setiap hari bagi memupuk perpaduan kaum dari peringkat awal lagi.

“Malah, di negara maju seperti Amerika Syarikat sekali pun mereka menetap masa khusus kepada semua pelajarnya untuk sama-sama menyanyikan lagu Kebangsaan dan bergilir-gilir menaikkan bendera AS bagi memupuk perpaduan dalam kalangan penduduknya tanpa mengira perbezaan agama mahu pun kaum,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Prof Dato Dr Mohammad Shatar Sabran

Dalam pada itu, Mohammad Shatar menzahirkan kebimbangan bahawa besar kemungkinan rusuhan kaum seperti Peristiwa 13 Mei 1969 akan berulang sekali lagi jika soal perpaduan negara tidak dijaga dan dijadikan agenda nasional.

Jelasnya, jika rusuhan kaum berulang sekali lagi sudah pasti agenda negara untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 akan berkubur begitu sahaja.

Sementara itu, Ahli Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, menegas bahawa Malaysia hanya boleh mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi jika masyarakat pelbagai kaum sentiasa bersatu padu dan memberikan perhatian sepenuhnya bagi memajukan ekonomi dengan penggunaan sains dan teknologi.

Beliau yang juga aktivis masyarakat berkata, walaupun Malaysia mampu mencapai kemajuan dari segi ekonomi dan sains teknologi tetapi tanpa perpaduan utuh antara masyarakat pelbagai kaum ia tidak akan kekal lama dan boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja.

“Kalau saya boleh kaitkan situasi di Malaysia sekarang kerajaan tidak akan dapat mengekang atau mengurangkan kadar penularan wabak Covid-19 tanpa perpaduan dan kerjasama dari masyarakat pelbagai kaum, pemimpin politik dan petugas barisan hadapan bersatu padu.

“Justeru, saya berpandangan kerajaan hanya boleh berjaya memutuskan lekuk penularan Covid-19 jika masyarakat dan pemimpin pelbagai kaum di Malaysia mengetepikan seketika perbezaan fahaman politik, agama dan warna kulit serta bersatu padu demi memastikan negara bebas dari ancaman penyakit berjangkit ini,”ujarnya.

Tan Sri Lee Lam Thye

Mengulas lanjut, Lee berkata beliau berharap kerangka DPN diumumkan Perdana Menteri  boleh disebarluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia bagi membolehkan mereka meneliti dan memberikan pandangan sewajarnya.

Justeru, Lee menggesa semua ahli dan pemimpin politik berhenti bermain sentimen politik berhubung isu perpaduan dan integrasi nasional tanpa mengira sama ada mereka adalah parti menyokong kerajaan memerintah atau pembangkang sekarang.

“Saya mengakui dalam sistem demokrasi berparlimen semua ahli Parlimen berhak menyuarakan pandangan masing-masing tetapi saya harap mereka dapat memberikan tumpuan ke arah usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama. Ini mestilah dijadikan agenda nasional semua pemimpin dan parti politik di Malaysia sekarang,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.