Kerajaan digesa tangani aplikasi eksploitasi wanita

61

15 FEB: Kerajaan digesa mengambil tindakan lebih proaktif bagi menangani kegiatan mengeksplotasi wanita melalui media sosial seperti aplikasi Sugarbook yang semakin berleluasa.

Tindakan berkenaan perlu kerana berdasarkan pendedahan terkini oleh media tempatan, Malaysia di antara negara ketiga tertinggi di Asia dari sudut pencarian kepada laman sugar dating yang mempromosikan budaya tidak bermoral melibatkan lebih 42,500 sugar daddy dan lebih 12,000 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang berdaftar dengan aplikasi Sugarbook.

Malah, difahamkan antara institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang disebutkan ialah Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Mara (UITM).

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata agak malang apabila dua IPT yang tersenarai adalah IPTA di bawah kawalan kerajaan dan tumpuan pelajarnya adalah Melayu Muslim.

“Malah sangat membimbangkan jika penglibatan ini juga melibatkan sebahagian daripada mereka. Justeru itu, UMMAH mendesak kerajaan agar bertindak pantas dan segera bagi menyekat serta memerangi perkara ini daripada menjadi budaya yang lebih parah lagi kepada generasi muda terpelajar di negara ini.

“UMMAH juga menyeru pihak IPT yang terlibat dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyiasat segera perkara ini dan tindakan tegas sangat wajar diambil kerana ia akan memburukkan lagi imej pusat pengajian tinggi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Zai berkata UMMAH juga menyeru semua NGO Islam agar membuat laporan polis di seluruh negara dan menyeru semua pihak yang terlibat dengan perkara ini agar tampil memberikan kerjasama bagi menghentikan budaya jijik berkenaan.

Ini kerana, kata Mohd Zai,  statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) berdaftar dengan aplikasi ‘Sugarbook’ untuk mencari sugar daddy, dengan peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran penggunaan baharu dipercayai akibat desakan hidup ketika Covid-19.

Media baru-baru ini, melaporkan Malaysia telah dikategorikan pada kedudukan ketiga tertinggi Asia bagi jumlah “sugar daddy” melalui aplikasi Sugarbook, sebuah aplikasi tidak bermoral yang menyediakan platform bagi mereka mencari wanita-wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai “sugar baby”.

Malah, rakyat Malaysia juga digemparkan dengan statistik seramai 12,705 pelajar IPT awam dan swasta di lembah klang berdaftar dengan aplikasi tersebut untuk mencari “sugar daddy”.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.