Permohonan Najib ketepikan Sri Ram tiada sebarang merit

86

15 FEB: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati permohonan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pekan dan bekas Perdana Menteri itu tidak mempunyai sebarang merit.

“Pemohon (Najib) bergantung kepada komunikasi antara bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dan Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi membuktikan elemen berat sebelah terhadapnya. Alasan ini tidak mempunyai sebarang asas.” jelasnya.

Tambah beliau, seperti manusia lain, Gopal Sri Ram juga mempunyai pandangannya sendiri dan pandangan itu tidak boleh dikatakan akan mempengaruhi tanggungjawabnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

Mohamed Zaini ketika membaca penghakiman ringkasnya berkata, tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan Najib bahawa Sri Ram telah bertindak berat sebelah ketika menjalankan tugasnya.

“Sekiranya pemohon dapat menunjukkan Sri Ram bersikap atau bertindak berat sebelah ketika menjalankan tugas, maka pertimbangan yang berbeza akan diambil. Sehubungan itu, permohonan pemohon ditolak,”kata Hakim Mohamed Zaini.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala peguam bela Nur Syahirah Hanapiah hadir mewakili Najib.

Najib, 68, dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.