Kes gangguan seksual, Rina gesa siasatan segera dilakukan

48

15 FEB: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), mendesak pihak berkuasa agar segera melakukan siasatan terhadap dakwaan ganguan seksual kepada seorang wanita baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, perbuatan terkutuk itu sama sekali tidak boleh dipandang ringan apatah lagi ia melibatkan anggota keselamatan.

Namun, beliau mengharapkan orang ramai tidak memandang sinis terhadap keseluruhan pasukan Polis Diraja Malaysia di negara ini dengan kelakuan seorang dua individu anggota pasukan tersebut.

“Dalam mengendalikan isu ini, saya amat berharap agar semua pihak saling menghormati dan tidak mempersoalkan kredibiliti keseluruhan institusi Polis Diraja Malaysia yang telah banyak berkorban dalam memastikan keselamatan negara.

“Usahlah kita menghukum ibarat kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”, katnya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan seorang wanita diganggu secara seksual oleh anggota agensi keselamatan itu ketika melalui sekatan jalan raya berhampiran plaza tol di ibu negara, pada Jumaat lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar menyatakan pengadu mendakwa ditahan seorang anggota polis ketika melalui sekatan di Jalan Duta (dari arah Kuala Lumpur).

Menurut beliau, wanita tersebut diminta mengemuka lesen memandu dan mendakwa didatangi seorang anggota yang memintanya menunjukkan payudara dan mengugut akan mengeluarkan saman jika pengadu enggan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin pula memberitahu , pihaknya juga telah mengambil keterangan wanita berusia 23 tahun itu diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, pada Sabtu.

Malah, beberapa anggota yang bertugas di SJR berkenaan telah diambil keterangan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata kementeriannya akan meneruskan usaha untuk menggubal perundangan khususnya berkaitan gangguan seksual.

“Drafnya kini dalam semakan kerajaan untuk dibentangkan pada sidang Parlimen kelak. Perundangan khusus ini amat penting dan bersifat saling melengkapi kepada undang-undang sedia ada.

“Ini perlu agar isu gangguan seksual dapat ditangani dengan lebih berkesan dan mampu melindungi mangsa, tanpa mengira wanita mahupun lelaki,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.