Keputusan kerajaan sejajar prinsip UDHR – SUHAKAM

21

15 FEB: Keputusan kerajaan menyediakan vaksin COVID-19 secara percuma kepada semua termasuk bukan warganegara dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap prinsip akses kepada kesihatan bagi semua orang di Malaysia.

Perkara ini juga sejajar dengan prinsip anti-diskriminasi serta layanan sama rata seperti mana yang diisytiharkan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyambut baik keputusan kerajaan yang melibatkan diplomat, pegawai dagang, pelajar, pasangan warga asing dan anak mereka, pekerja asing dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Suhakam berkata, akses kepada penjagaan kesihatan merupakan hak asasi yang seharusnya dinikmati oleh semua orang tanpa mengira status mereka.

”Hak kepada kesihatan merangkumi hak kepada sebuah sistem perlindungan kesihatan yang memberikan peluang sama rata kepada semua untuk mendapat akses kepada penjagaan kesihatan.

”Suhakam juga berharap agar kerajaan akan merealisasikan keputusan mereka untuk menyediakan vaksin percuma kepada migran tanpa dokumen dan memastikan agar mereka yang tampil untuk menyertai Program Imunisasi Kebangsaan ini tidak akan ditangkap dan didenda disebabkan status mereka yang tidak berdokumen,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, perkara itu diumumkan melalui satu kenyataan media bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin selepas Mesyuarat Kabinet bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pada 10 Febuari lalu.

Katanya, selari dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ serta menerusi pendekatan ‘tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat’, pemberian vaksin secara percuma kepada golongan itu adalah selepas mengambil kira beberapa faktor.

Keputusan pemberian vaksin secara percuma itu juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin Covid-19 yang diperolehi Malaysia mencukupi serta melebihi jumlah rakyat Malaysia yang layak menerimanya.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, Suhakam tidak akan mengambil tindakan terhadap warga asing yang tidak mempunyai dokumen agar mereka tidak takut untuk hadir menerima vaksin tersebut.

“Walaupun Suhakam memahami kuasa undang-undang imigresen menetapkan tangkapan boleh dibuat terhadap mereka yang tidak mempunyai dokumen, tetapi melihat kepada keadaan mendesak ketika pandemik ini, persekitaran yang selamat amat perlu bagi membolehkan semua orang tampil secara sukarela untuk vaksinasi.

“Dalam hal ini, Suhakam menyambut baik kesediaan kerajaan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan ke arah memastikan program imunisasi yang efektif kepada semua,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.