Jika Ada Unsur Pelacuran, Tindakan Tegas Akan Diambil

190

15 FEB: Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran atau melanggar undang-undang oleh pemilik dan pengguna aplikasi Sugarbook, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, pihaknya dengan kerjasama pihak polis akan berterusan melakukan pemantauan dan siasatan berhubung aplikasi Sugarbook.

“Dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan yang berlainan termasuk untuk memperdayakan mangsa.

“Ibu bapa dan penjaga pula dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi tingkah laku dalam talian anak di bawah jagaan masing-masing dan peka dengan perubahan gaya hidup yang boleh menimbulkan keraguan,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, SKMM memberitahu, selain daripada Sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan “dating service” atau percintaan dalam talian.

Justeru, pengguna harus sedar mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.

“Risiko scam percintaan (love scam) akan tertambah dengan terdedah juga kepada malware dan spyware, kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual.

“SKMM ambil berat dengan gimik pemasaran laman cari teman Sugarbook baru-baru ini yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia, terutamanya penuntut universiti, menawarkan diri sebagai Sugar Baby di laman aplikasi tersebut.

”Dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh

diolah sesuka hati untuk tujuan-tujuan yang berlainan termasuk untuk memperdaya mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, SKMM menasihatkan pengguna aplikasi Internet agar sentiasa berhati-hati memberikan maklumat peribadi ketika melayari media sosial atau aplikasi dalam talian, terutamanya untuk berhubung dengan orang-orang yang tidak dikenali contohnya di laman pencarian teman. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.