Felda beli 857,300 saham FGV bernilai RM1.11 juta

11

15 FEB :  Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah membeli 857,300 saham lagi dalam FGV Holdings Bhd bernilai RM1.11 juta daripada pasaran terbuka dengan harga RM1.30 sesaham, jelas Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dalam satu kenyataan bagi pihak Felda hari ini.

Menurut kenyataan itu, Felda telah membeli saham-saham FGV itu pada hari Khamis, 11 Feb lalu.

Maybank IB berkata, tarikh tutup penerimaan tawaran pengambilalihan oleh Felda untuk memperoleh baki saham dalam FGV telah dilanjutkan daripada 16 Feb kepada 2 Mac.

Langkah itu adalah di bawah tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat oleh Felda menerusi Maybank IB, untuk memiliki kesemua baki saham dalam FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan) yang belum dimiliki oleh Felda dan pihak yang berkepentingan sama (PAC), termasuk semua saham FGV di bawah pelan insentif jangka panjang FGV, katanya.

Setakat 10 Feb, jumlah saham yang dipegang oleh Felda dan PAC dalam FGV berjumlah 2.62 bilion saham, bersamaan dengan 71.95 peratus kepentingan dalam syarikat itu.

Menurut Maybank IB, FGV tidak memenuhi syarat minimum pegangan saham awam iaitu 25 peratus kerana ia hanya menyumbang 23.93 peratus setakat 4 Feb.

Ia juga menambah Felda tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian FGV di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.