15 Tapak Bina gagal patuhi SOP PKP diarah tutup- CIDB

36

15 FEB : Sebanyak 15 tapak pembinaan di seluruh negara diarah tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kerana didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi satu kenyataan hari ini berkata, sejak PKP dilaksanakan pada 13 Jan lepas, CIDB telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,022 tapak pembinaan dan 1,007 didapati mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Setakat semalam, 15 tapak pembinaan diberikan notis kerana kegagalan pematuhan dari aspek penempatan pekerja, tiada penjarakan fizikal dan pekerja tidak memakai pelitup muka.

“Kebanyakan kes positif COVID-19 di tapak pembinaan adalah berpunca daripada kegagalan mematuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

“Antara punca yang dikenal pasti adalah penempatan pekerja yang sesak, kotor dan tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta pekerja berpindah dari satu tapak projek ke tapak projek yang lain yang berkemungkinan membentuk kluster pembinaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa kontraktor yang mendapat kebenaran beroperasi ketika PKP agar mematuhi SOP di tapak pembinaan dan penempatan pekerja bagi mengelak berlaku jangkitan serta pandemik COVID-19.

Katanya lagi, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana kontraktor yang gagal mematuhi arahan ditetapkan selain tindakan tatatertib yang boleh mengakibatkan pendaftaran mereka dibatal atau digantung.

SOP terkini boleh dirujuk di laman sesawang CIDB www.cidb.gov.my/ms/pkpkebenaran-beroperasi manakala Garis Panduan Industri Pembinaan boleh didapati di Telegram rasmi CIDB https://t.me/cidbmy atau hubungi Hotline CIDB 03-5567 3300 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat bermula 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

Untuk rekod, sejak 20 Sept 2020 hingga 12 Feb lepas, 527 kluster dikenal pasti melibatkan tempat kerja daripada keseluruhan 852 kluster dilaporkan dalam gelombang ketiga pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.