PKP : 1,111 individu dikompaun, angka tertinggi setakat ini

36

15 FEB: Jumlah individu yang dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam menunjukkan peningkatan mendadak kepada 1,111 orang, jumlah tertinggi sejak pelaksananaan perintah itu setakat ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada keseluruhan tangkapan, seramai 1,040 individu dikompaun manakala 71 orang direman.

“Kesalahan tertinggi direkodkan ialah rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran sebanyak 306 kes dan tiada penjarakan fizikal sebanyak 300 kes.

“Kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (107), tidak memakai pelitup muka (97), keluar rumah tanpa alasan munasabah (68), membawa penumpang berlebihan (58), aktiviti pusat hiburan (55), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (11) dan lain-lain (109),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, beliau berkata, seramai 22 pendatang asing tanpa izin ditahan dan enam kenderaan darat dirampas.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 91 bot dan kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan,” katanya

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, sejak 24 Julai tahun lalu sehingga semalam, seramai 121,357 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemuanya telah ditempatkan di 72 hotel dan 12 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Seramai 5,803 individu telah dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 114,981 orang dibenarkan pulang manakala 573 lagi dibawa ke hospital. “katanya. 

Sementara itu, Ismail memaklumkan semalam, seramai 5,402 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 11 orang disahkan positif COVID-19.

“Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 373,587 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 16,969 majikan. 

“Daripada jumlah ini, seramai 7,234 orang telah disahkan positif COVID-19 manakala 366,353 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 1,370 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.