Pemandu rempuh SJR ada 12 rekod lampau

99

14 FEB: Polis menahan seorang lelaki yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Besar Desa Aman Puri, Desa Jaya, Gombak  awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi, anggota polis yang bertugas di SJR menahan sebuah Proton Wira hitam yang dinaiki oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis bertugas telah mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaannya di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.

“Apabila dihampiri anggota polis, pemandu tersebut terus memecut kenderaannya lalu melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, anggota polis kemudian mengejar kenderaan dipandu lelaki itu sehingga ke kawasan Perumahan Perdana Puri yang jaraknya lebih kurang 300 meter dari lokasi SJR tersebut.

Katanya, pemandu kereta itu kemudian bertindak berpatah balik dan memecut laju ke arah khemah SJR dan hampir merempuh seorang anggota polis yang bertugas.

“Bagaimanapun, lelaki itu telah memberhentikan keretanya dalam keadaan mengejut dan mengundurkan keretanya dengan laju sebelum melanggar batu pembahagi jalan berhampiran dengan khemah SJR tersebut,” katanya.

Akibat pelanggaran itu, katanya, kenderaan tersebut tidak boleh bergerak dan akhirnya lelaki itu berjaya ditangkap.

Arifai berkata, semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Keputusan ujian saringan ujian air kencing juga mendapati lelaki itu positif methamphetamine.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Pindaan 2021.

Katanya, suspek disyaki melarikan diri dari SJR kerana menagih dadah dan tidak mempunyai kebenaran rentas daerah atau negeri.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan reman telah dibenarkan selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.