8 remaja kantoi buat aksi Superman atas motosikal

64

14 FEB: Lapan remaja yang melakukan aksi merbahaya ketika menunggang motosikal berjaya ditahan pihak polis dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Operasi yang diketuai Inspektor Solihi Shafie dari Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur itu bermula dua hari sejak 12.30 tengah malam, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi pertama di Lebuhraya AKLEH menahan tiga remaja berusia 14 hingga 23 tahun yang melakukan aksi ‘Superman’.

Menurut beliau, siasatan mendapati dua daripada remaja itu masih bersekolah manakala seorang lagi bekerja di sebuah restoran makanan segera.

“Operasi pada awal pagi Ahad turut menahan lima lagi remaja berusia 14 hingga 17 tahun yang melakukan aksi zig-zag, menundukkan badan selain bersaing sesama sendiri.

“Hasil semakan juga mendapati tiga daripada remaja itu masih bersekolah. Pemeriksaan pada kesemua motosikal yang dirampas juga mengesan beberapa kesalahan

“Antaranya ekzos bising, nombor plat ‘fancy’ selain tidak mempunyai lampu depan dan belakang,” katanya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu mereka yang ditahan dan kesemua motosikal Yamaha Y15 dan Yanaha 135LC dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur.

“Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.