11 kluster baharu COVID-19 muncul di 5 negeri

81

14 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti 11 lagi kluster baharu Covid-19 di Johor, Selangor, Kedah, Sabah dan Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lima daripada jumlah itu membabitkan Johor iaitu Jalan Istimewa Cemerlang, Batu 57, Jalan Usaha Satu, Jalan Tebrau Khas dan Jalan Persiaran Teknologi Kulai

Menurut beliau, bagi kluster baharu lain pula adalah Ria Jaya, Kedah; Patikang Ulu, Sabah dan Jalan Badak di Perak

“Selain itu, kluster baharu selebihnya adalah di Selangor iaitu Tapak Bina Jalan Setia, Jalan Jelatek dan Jalan Sepuluh.

“Ia membabitkan sembilan kluster berkaitan tempat kerja serta masing-masing satu kluster melibatkan komuniti dan keagamaan yang menjadikan kini jumlah kluster aktif sebanyak 484 kluster,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memberitahu Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,103 kes (44.8 peratus).

Daripada jumlah ini, menurut beliau, sebanyak 867 kes (78.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan yang diikuti oleh Johor sebanyak 492 kes (20.0 peratus) serta Sarawak sebanyak 161 kes (6.5 peratus).

“Sebanyak 54 kes (2.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara, lokap, dan depoh tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Tembok Bendera (18 kes), Kluster Tembok Pengkala Chepa (14 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (10 kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (9 kes), Kluster Tembok Renggam (1 kes), Kluster Penjara Kepayan (1 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Sarawak, dua kes di Selangor serta masing-masing satu kes di Sabah dan Pulau Pinang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.