Seramai 7,198 pekerja asing positif COVID-19 – KSM

19

13 FEB: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan bahawa seramai 7,198 pekerja asing yang menjalani ujian saringan diwajibkan kerajaan disahkan positif COVID-19 setakat ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri, berkata mereka adalah sebahagian daripada 368,185 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 wajib melibatkan 16,758 majikan, sejak 1 Februari lalu.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak 7,198 telah disahkan positif COVID-19 manakala 360,987 lagi adalah negatif.

“Semalam, seramai 6,118 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, dua didapati positif COVID-19. Sehingga kini juga, sebanyak 1,370 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata eramai 623 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara, semalam.

“Sejak 24 Julai 2020, seramai 120,500 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 73 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Seramai 5,690 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 114,259 orang dibenarkan pulang manakala 551 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 15,345 pemeriksaan melibatkan 8,677 tapak binaan sejak 20 April 2020.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.