PKP: Shuib, Siti Sarah dikompaun RM1,000 langgar SOP

58

13 FEB: Pasangan selebriti, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Mohamad dan isterinya, Siti Sarah Raissuddin masing-masing didenda RM1,000 seorang selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika makan di sebuah restoran, di Kuala Lipis, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mereka dikenakan kompaun dikesan oleh Pasukan Task Force Pematuhan dari Balai Polis Kuala Lipis kerana didapati duduk melebihi dua orang semeja dan tiada penjarakan fizikal di sebuah restoran di Kuala Lipis, kira-kira jam 9 malam, pada malam Jumaat lalu.

Berikutan itu, Azli berkata polis juga mengenakan kompaun RM1,000 terhadap dua lagi pelanggan yang turut duduk semeja bersama pasangan selebriti terbabit kerana kesalahan melanggar SOP.

“Kita juga mengeluarkan kompaun terhadap pemilik restoran berkenaan kerana didapati gagal memastikan semua pelanggannya mengikut SOP PKP seperti diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Pasangan selebriti, dua pelanggan lain serta pemilik restoran berkenaan dikompaun mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Terdahulu, seorang individu memuat naik gambarnya bersama pasangan selebriti menjamu selera di dalam premis terbabit dalam akaun Facebook miliknya.

Pada 9 Februari lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan  kerajaan memutuskan untuk membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi secara makan di premis dengan SOP yang ketat.

Ismail Sabri berkata Sidang khas Majlis Keselamatan Negara memutuskan kebenaran itu diberikan bermula 10 Februari 2021 dengan jumlah dua orang semeja, penjarakan satu meter juga dikenakan kepada pengunjung yang makan di kedai atau restoran.

Katanya, mereka perlu memastikan kehadiran pekerja dan pelanggan direkodkan dan mengehadkan bilangan pelanggan berada di premis pada satu-satu masa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.