PDRM siasat dakwaan wanita diganggu polis ketika SJR

94

13 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan dua wanita diganggu termasuk satu kes gangguan seksual oleh anggota polis yang menjalankan tugas di sekatan jalan raya (SJR) di dua lokasi berasingan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dan mengenal pasti kedua-dua anggota polis terbabit.

“Siasatan pada masa ini adalah untuk mengenal pasti kedua-dua anggota terbabit berdasarkan keterangan dan maklumat yang ada.

“Bukit Aman juga sudah menghubungi kedua-dua wanita itu bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai anggota yang didakwa mengganggu mereka bagi membantu siasatan JIPS,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Dalam kes terbaharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur, seorang wanita mendakwa ditanya sama ada memakai baju dalam oleh anggota polis bertugas, selain diberi jaminan tidak akan disaman jika menunjukkan kepadanya.

Manakala, kejadian lain berlaku di Pulau Pinang apabila anggota polis didakwa menghantar mesej kepada wanita yang baru diperiksanya ketika melalui SJR dengan tujuan ingin berkenalan.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, JIPS akan mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya ke atas mereka yang terbabit kerana ia adalah kesalahan tatakelakuan serius dan boleh mencemarkan imej PDRM.

“Saya ingin mengingatkan pegawai dan anggota polis perlu bersikap profesional dan tidak membuat sesuatu perkara atau melakukan percakapan tidak berkaitan dengan tugas rasmi yang sedang dijalankan pada masa itu,” katanya.

Berikutan itu, kedua-dua wanita itu berkongsi hantaran situasi yang dialami mereka ketika melalui SJR menerusi akaun Twitter dan Instagram masing-masing.

Wanita yang dikenali sebagai Sabiyusof memaklumkan ditahan selepas tidak membawa lesen memandu ketika melalui SJR di Jalan Duta, di sini, semasa dalam perjalanan pulang ke Shah Alam selepas mengambil barang di Wangsa Maju, di Kuala Lumpur.

Dia juga turut diminta mengemukakan surat kebenaran untuk pergerakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun menunjukkan kebenaran itu dalam sistem menerusi atas talian dalam telefon bimbit miliknya.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan dilakukan, seorang daripada anggota polis bertanya soalan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak, selain turut mendakwa tidak akan disaman sekiranya dia menunjukkannnya. Wanita itu kemudian enggan menuruti permintaan itu, dan meminta anggota polis terbabit mengeluarkan saman.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.