Langgar SOP COVID-19, Nigeria wujudkan mahkamah bergerak

21

13 FEB : Sebuah mahkamah bergerak diwujudkan pihak berkuasa Nigeria di ibu kota Abuja bagi memudahkan pendakwaan ke atas individu dan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dilaksanakan untuk mengekang penularan COVID-19.

Pasukan khas COVID-19 Abuja telah mendakwa ramai individu terbabit di sebuah mahkamah bergerak didirikan berhampiran Mahkamah Agung dan Dewan Kebangsaan.

Pasukan khas di Abujadijangka akan menubuhkan dua lagi mahkamah bergerak menjelang hujung minggu ini.

“Hari ini, 46 orang didakwa, termasuk tiga individu bawah umur. Mereka yang mengaku bersalah (bagi pendakwaan berkait pemakaian pelitup muka) didenda 2,000 naira (kira-kira AS$5). Selain denda, hukuman dikenakan boleh meliputi khidmat masyarakat dan penjara,” kata Pengerusi pasukan khas itu, Attah Ikharo, Rabu lalu.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, meluluskan undang-undang baharu pada bulan lalu yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan mengingkari peraturan berkaitan COVID-19.

Pemakaian pelitup muka diwajibkan di tempat awam dan orang ramai dinasihat mengamalkan penjarakan fizikal di seluruh negara, namun prosedur operasi standard (SOP) terbabit jarang dipatuhi.

Nigeria yang juga negara berpenduduk paling padat di Afrika, sedang menghadapi gelombang kedua pandemik COVID-19 dengan 143,516 jangkitan dan 1,710 kematian dilaporkan, setakat ini.

Bagaimanapun, angka sebenar terbabit dipercayai lebih tinggi berikutan jumlah ujian saringan dijalankan adalah rendah.

Sejenis varian COVID-19 dikesan di Nigeria, baru-baru ini, namun masih belum jelas sama ada ia lebih berbahaya dari segi kadar kebolehjangkitan atau mengakibatkan kematian.

Nigeria dijangka menerima 16 juta dos vaksin AstraZeneca melalui program COVAX menjelang akhir bulan ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.