COVID-19 : Sektor pembuatan catat jumlah kluster tertinggi

37

13 FEB : Kluster tempat kerja kategori pembuatan mencatatkan kluster tertinggi dalam jangkitan COVID-19 dengan sebanyak 194 kluster, berbanding kluster perkhidmatan yang mencatat sebanyak 175 kluster, pembinaan sebanyak 97 kluster, pentadbiran awam sebanyak 39 kluster, pertanian sebanyak 14 kluster dan perlombongan/kuari sebanyak lapan kluster.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sebanyak 527 kluster dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan tempat kerja daripada jumlah 852 kluster secara keseluruhannya yang dilaporkan sepanjang gelombang pandemik ketiga sejak 20 September lepas.

Beliau berkata, seramai 78,906 orang didapati positif COVID-19 daripada seramai 315,100 orang di dalam kluster tempat kerja yang disaring.

“Daripada jumlah kes positif di tempat kerja tersebut, seramai 58,318 orang daripadanya adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia manakala 20,588 orang lagi adalah warganegara,”

“Kategori pembuatan mencatatkan kluster tertinggi dengan sebanyak 194 kluster, perkhidmatan (175), pembinaan (97), pentadbiran awam (39), pertanian (14) manakala perlombongan/kuari (lapan),” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor di tiga asrama pekerja asing di Jalan Seelong, Senai, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata pemeriksaan di tiga asrama di Jalan Seelong itu dilakukan susulan terdapat 327 pekerja asing di asrama terbabit didapati positif COVID-19 daripada keseluruhan 568 pekerja yang disaring, dari 5 hingga 11 Feb lepas.

Pemeriksaan mendapati tiada pengamalan 3S, iaitu elak tempat sempit, tempat sesak dan sembang dekat di tempat penginapan pekerja asing yang melanggar Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Jabatan Tenaga Kerja Negeri Johor telah diarahkan untuk melakukan siasatan terhadap tempat penginapan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.