Potong bonus, komisyen punca protes pekerja J&T

81

12 FEB: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menggesa syarikat J&T Express (Malaysia) Sdn Bhd, mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pekerja sebelum membuat keputusan dan perubahan berkaitan pemotongan bayaran bonus dan komisyen kepada penghantar surat.

Menurut KSM tindakan itu perlu susulan penularan video di media sosial pada 4 Februari 2021 mengenai tindakan beberapa orang pekerja syarikat J&T Express (Malaysia) Sdn. Bhd [syarikat] yang telah menguruskan pemunggahan bungkusan secara kasar sebagai protes terhadap pihak majikan mereka.

Berikutan itu KSM telah menjalankan siasatan terhadap beberapa buah premis perniagaan syarikat yang terletak di Perak, Melaka, Johor dan Selangor.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berkenaan berlaku di sebuah premis perniagaan syarikat yang terletak di Perak dan ia berpunca daripada bebanan kerja yang dialami oleh pekerja-pekerja di bahagian gudang berikutan peningkatan mendadak bungkusan.

“Siasatan turut mendapati terdapat di kalangan pekerja-pekerja terutamanya di bahagian penghantaran (despatch) tidak berpuas hati dengan pemberian bonus berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral yang akan menyebabkan pendapatan pekerja yang terlibat berkurang,” kata KSM dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut KSM, pihak majikan memaklumkan bahawa isu berhubung kejadian pekerja memunggah bungkusan secara kasar telah selesai dan ia berlaku disebabkan salah faham.

Berikutan itu J&T telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada para pelanggan serta menjelaskan tentang sistem pemberian bonus kepada kakitangan yang menjadi punca ketidakpuasan hati kakitangan J&T.

“Majikan digesa supaya sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan yang melibatkan kepentingan pekerja.

“Ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati pada hari ini serta kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.