PM sertai rumah terbuka Gerakan secara maya

46

12 FEB: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, hari ini, meluangkan masa untuk menyertai sambutan majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina yang dihoskan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang diadakan secara persidangan video.

Muhyiddin berkata, majlis yang dihadiri semua pimpinan Gerakan termasuk Ahli Jawatankuasa Pusat, Wanita dan Pemuda parti itu diketuai Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai serta pimpinan tertinggi parti di dalam Perikatan Nasional (PN) daripada PAS, STAR dan SAPP.

“Saya ingin berterima kasih kepada Gerakan atas jemputan menghadiri sambutan ini yang saya anggap cukup meriah dan bermakna walaupun disambut secara dalam talian bagi disesuaikan dengan suasana norma baharu ketika negara masih berdepan pandemik COVID-19.

“Dalam pesanan ringkas pada majlis itu, saya tegaskan bahawa pandemik COVID-19 telah memberi cabaran besar kepada Kerajaan dan rakyat, namun yakin kerja keras pimpinan negara serta kerjasama yang diberikan seluruh lapisan masyarakat ketika ini, Malaysia mampu untuk bangkit dan menjadi lebih gemilang pada masa akan datang,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook miliknya, sebentar tadi.

gerakan
Antara pemimpin yang menyertai rumah terbuka Tahun Baharu Cina secara maya anjuran Gerakan.

Perdana Menteri juga percaya kedatangan tahun baharu ini akan membangkitkan iltizam yang lebih jitu daripada rakyat, khususnya masyarakat Tionghua untuk bekerja lebih keras bagi memperoleh kejayaan atau kemenangan dalam apa juga cabaran yang dilalui.

“Saya dan isteri kemudiannya menyertai tetamu lain menggaul ‘yee sang’, sejenis makanan tradisi Cina yang sinonim bagi masyarakat negara ini setiap kali tiba sambutan Tahun Baharu Cina. Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le! Happy Chinese New Year,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.