Kerjasama politik mantap PN Selangor tumbangkan PH

112

12 FEB: PAS Selangor akan memberikan komitmen penuh dalam menjayakan agenda Perikatan Nasional (PN) di negeri ini serta mengekalkan kerajaan sedia ada dengan semangat perpaduan ummah.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, adalah menjadi harapan pihaknya, PN Selangor dijayakan dengan meraikan semangat musyawarah, hormat-menghormati dan tolak-ansur antara parti yang mendukungnya setiap waktu serta ketika demi menjamin hubungan kerjasama politik yang mantap dan berkesan khasnya dalam usaha menawan Selangor yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, kenyataan Pengerusi PN Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pembentukan Badan Perhubungan PN Selangor turut menandakan kesediaan PAS di negeri ini memberikan penglibatan serta kerjasama penuh dalam gerak kerja mempertahankan PN sebagaimana diarahkan PAS Pusat.

“PAS Selangor mengharapkan agar semua keputusan berkaitan lantikan parti di peringkat negeri dan kemudiannya nanti di peringkat Parlimen dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat dengan persetujuan bersama bagi mencerminkan permuafakatan yang padu.

“Setiap jawatan di peringkat negeri selain Pengerusi dan Naib Pengerusi PN Negeri sewajarnya diputuskan dalam Mesyuarat PN Selangor dengan mengambil kira kekuatan dan kemampuan serta pengaruh parti masing-masing di bawah PN negeri bagi membentuk sebuah pasukan yang benar-benar berkemampuan dan mempunyai keupayaan mempengaruhi akar-umbi khasnya rakyat Negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada Khamis, PN Selangor mengumumkan pembentukan struktur organisasi gabungan itu yang lebih strategik bagi menjana kekuatan baru dalam memperkukuhkan keyakinan rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pada 5 Februari lalu, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Ahmad Yunus bagi membincangkan mengenai pembentukan Badan Perhubungan Negeri (BPN) di Selangor.

Beliau berkata, PN Selangor komited menggembleng kekuatan setiap parti anggota untuk mewakili kerencaman masyarakat dan kepelbagaian budaya di negeri itu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.