Bukti kerajaan prihatin terhadap rintihan rakyat

118

12 FEB: Keputusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar dalam menambah baik inisiatif tersebut kepada rakyat di seluruh negara membuktikan kerajaan amat prihatin kepada rintihan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang memerlukan bantuan segera.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata pihaknya menyambut baik inisiatif tersebut yang sedikit banyak dapat membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan dan terjejas pendapatan.

Menurut beliau, ini turut membuktikan kerajaan telah melaksanakan kajian teliti bagi menjadikan kemudahan i-Sinar tanpa syarat menjadi realiti yang amat dimahukan oleh rakyat di negara ini.

Effendy
MOHD EFFENDY ABDUL GHANI

“Ini merupakan satu keputusan yang tepat pada masanya yang dilihat pada permulaan (i-Sinar) mempunyai syarat namun setelah dilakukan kajian sewajarnya oleh kerajaan, keputusan tanpa syarat telah diumumkan yang merupakan satu keputusan yang baik setakat ini.

“Jadi, MTUC mengalu-alukan tindakan kerajaan dan ini merupakan masanya yang tepat untuk membantu warga pekerja kita yang dalam keadaan tertekan dengan masalah kehilangan pekerja. Walaupun ada yang bekerja namun ketahanan kerja itu tidak lama disebabkan pendapatan syarikat mereka tidak kukuh ketika COVID-19,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz semalam berkata, KWSP dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar selepas mengambil kira maklum balas awam dan juga atas nasihat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, selain untuk menambah baik inisiatif tersebut.

Sementara itu, Penasihat Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (PERAPIM), Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi memberitahu cadangan pemasuhan itu dilihat memberi nafas lega kepada rakyat yang dapat membantu mengekalkan aliran tunai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Namun, beliau menggesa agar orang ramai yang bakal mengeluarkan wang tersebut menggunakan duit tersebut dengan sebaiknya dan bagi mereka yang mahu memenuhi kehendak dan bukan keperluan, maka pertimbangkan semula hasrat tersebut.

nizam
MOHD NIZAM ABDUL SAMAR ZAMMI

“Bagi mereka yang terlibat dengan pemotongan gaji, maka wang tersebut dapat digunakan untuk menyelesaikan hutang bagi mengurangkan komitmen bulanan.

“Sudah pasti semua orang sudah mempunyai perancangan agar wang tersebut betul-betul digunakan ke jalan yang tepat seiring matlamat kerajaan untuk membantu pencarum KWSP,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang dihubungi hari ini turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya melabur dalam skim atau scammer yang akan menyebabkan wang berkenaan lebur.

“Buat mereka yang mahu menggunakan untuk berniaga, diharapkan agar tidak tersalah memilih perniagaan yang menyebabkan duit modal pelaburan mereka hasil pengeluaran i-Sinar akan terlebur begitu sahaja yang menyebabkan mereka kerugian sedangkan duit KWSP boleh membantu mereka.

“Cadangan saya, mulakanlah perniagaan mudah dan kalau tiada kepakaran jangan buat. Seperti contoh, pilihlah perniagaan yang mudah secara atas talian. Jadi, pengurusan kewangan ketika menerima duit sangat-sangat penting dan perlulah diuruskan dengan berhemah,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.