Agensi media patut dibayar bagi berita dalam talian

24

12 FEB: Microsoft menggesa negara-negara lain supaya mengikut langkah Australia yang menggesa supaya agensi media dibayar bagi setiap berita yang disiarkan secara dalam talian.

Presidennya, Brad Smith berkata, syarikat itu menyokong penuh cadangan penggubalan undang-undang Australia supaya Google dan Facebook membayar setiap perkhidmatan syarikat media yang disiarkan di platform mereka.

“Cadangan Australia itu mewujudkan perbezaan pendapat dalam kalangan sektor teknologi dan kami turut ditanya sama ada Microsoft akan menyokong cadangan serupa di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain.

“Jawapannya adalah ya,” katanya seperti dipetik daripada laporan AFP.

Sebelum ini, Facebook dan Google masing-masing mengugut akan menyekat perkhidmatan mereka di Australia sekiranya cadangan terbabit dilaksanakan.

Bagaimanapun Microsoft sedia menawarkan perkhidmatan mereka jika syarikat gergasi seperti Google menyekat enjin pencarian mereka di Australia susulan cadangan undang-undang terbabit.

Situasi berkenaan turut menimbulkan persoalan sama ada Presiden AS, Joe Biden akan mengikut langkah Australia biarpun ia dibantah sekeras-kerasnya oleh pentadbiran terdahulu.

Smith berkata, platform internet yang sebelum ini tidak memberi bayaran kepada agensi media dengan sewajarnya, harus menghidupkan semula bidang kewartawanan.

“AS tidak sepatutnya membantah cadangan kreatif Australia dalam memperkasakan demokrasi dengan memastikan syarikat teknologi menyokong agensi media.

“Mereka seharusnya menyokong cadangan ini,” katanya.

Australia mencadangkan undang-undang yang berupaya memantau usahasama antara media tradisional dan syarikat gergasi yang menguasai internet bagi membolehkan mereka berkongsi hasil pengiklanan sama rata.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.